Jumat, 17 Juni 2011

Menangislah, Sekiranya Kecewa Melanda Diri...


The best thing one can do when it's raining is to let it rain. ~Henry Wadsworth Longfellow

Ramai orang yang mengalami kesedihan, sedayanya cuba untuk menutup dan menyekat akan sedih itu. Kuasa menolak yang hadir, ego yang membelenggu dan rasa malu yang kuat akan membuatkan manusia seperti semahunya menidak akan rasa sedih dan si airmata.

Jangan ditelan kesedihan itu dan ianya kelak hanya akan memakan diri. Belajar untuk lepaskan sedih itu. Percaya dan yakin bahawa melepaskan kesedihan itu tidak akan mencacatkan maruah kita sebagai manusia.

Mengapa takut untuk menangis?

Setiap yang terjadi dalam putaran masa ialah takdir dan pelajaran untuk kita lebih mendalami kehidupan. Kita selalu beranggapan, sekiranya kita meratap dan menangisi sedih yang melanda diri- kita akan nampak bodoh di matanya. Kita akan nampak kalah kerana tidak mampu mengharunginya.

Sebenarnya, kekuatan selalu hadir bila airmata dan luahan rasa dapat diluahkan dan kecewa itu dapat didengar, dibaca dan difahami.

Manusia harus tahu, lemah kita bukan kerana kita menangis atau kecewa. Menangis kita ialah kerana sebak yang terkumpul itu perlu untuk dilepaskan dan pengajaran dari tangisan itu akan kita kutip sebaiknya.

Dari kecil setiap dari kita tidak akan terlepas dari sakit dan jatuh bangun. Kita akan kenang saat luka dulu sebagai manisnya kenangan lalu. Jadi, kiranya ada jatuh ini, kecewa ini dan sedih ini membuang separuh harapan pada hakikat kita dan bahagia masa depan, bangunlah dan lepaskan ia untuk terakhir kali dan berjalanlah bagaikan kita baru lepas melintasi medan perang yang besar, baru menang dalam juang yang benar.

Kita yakinkan dalam diri kita, airmata yang mengalir itu ialah kerana kita memuliakan satu kedatangan kekuatan semangat yang baru.

Tidak akan rugi sekiranya kita mengakui itu juga adalah dari kesan silap kita. Kerana nama pun manusia, belajar dari kesilapan itu dan bernafas semua dengan kekuatan baru tidak akan sedikit pun menggugat maruah kita sebagai seorang manusia.

Kata orang, kasih itu bila ia tiada, rindu itu bila melihat redup suria dan cinta yang kecundang itu bagaikan luka yang besar didalam dada. Benarkan akannya. Benarkan akan tangisan itu menyapa jiwa.

Kerana suatu hari nanti, apabila semua ini berakhir dengan sendiri- kita akan mengenang ia sebagai sebahagian dari sebuah manisnya kehidupan. Kerana itulah dewasa kita, itulah kekuatan yang hadir buat kita dan itulah juga sabar yang Allah duga buat kita.

Kehilangan sesuatu yang amat kita sayang kerana kematian, putus kasih, di lupakan, kecurangan dan ditinggalkan sememangnya tidak pernah mengukir senyum dihati seorang insan. Tapi, demi untuk kekuatan diri, kita perlu untuk menjadi keras hati dan meletakkan mulia pada diri sendiri.

Perempuan harus letakkan sabar kita pada satu tahap yang akan mengangkat kembali akan jati dirinya. Sedih yang melanda seorang manusia itu sebenarnya memerlukan satu sudut kemaafan hadir untuk memaafkan diri sendiri.

Maafkanlah khilaf kita, mahupun mungkin ada yang terlepas pandang. Setiap sedih yang tercipta sebenarnya didatangkan pula pelangi indah buat kita. Senyumlah, sesungguhnya belajar untuk mengasihi diri sendiri lebih baik dari menyesali diri.

Anak hari baru, punya terlalu banyak taruhan pada cinta dan harapan. Negara perlukan kita, agama mengikat baik kita, keluarga mengucup dahi dan mendoakan kita. Kita bangunlah, selepas kita lepaskan tangisan lelah yang panjang.

Akan ada pelukan kemas dari insan mulia buatmu disuatu hari, itu aku pasti
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 komentar:

Posting Komentar