Dr. John Gray, seorang pakar perhubungan rumahtangga di Amerika mengesyorkan beberapa jenis perkara-perkara kecil yang boleh membuat wanita berasa dirinya dikasihi, di antaranya:
1. Sekali-sekala belikan isteri saudara itu buah tangan, walaupun saudara tidak pergi ke mana-mana. Ramai lelaki membeli buah tangan untuk isteri apabila mereka pergi jauh dan lama pula. Buah tangan seperti itu tidak berapa memuaskan hati isteri kerana ia boleh diramalkan. Pemberian yang amat memuaskan hati isteri ialah pemberian yang dia langsung tidak sangka akan menerimanya pada hari itu.
2. Sekali-sekali pujilah pakaian yang dipakai oleh isteri. Lelaki lazimnya suka memuji pakaian wanita sewaktu mereka masih belum berkahwin. Semakin lama mereka berkahwin semakin jarang mereka memuji pakaian isteri. Pujian jenis ini amat menyukakan hati mana-mana wanita.
3. Ambil tahu apa makanan yang isteri saudara sukai. Lazimnya, isteri-isteri amat mengambil berat makanan yang digemari oleh suami, tetapi tidak sebaliknya. Isteri saya sangat suka buah salak, dan setiap kali saya nampak buah salak, saya belikan untuknya. Saya sendiri tidak suka buah itu. Hingga hari ini, buah hodoh itu belum pernah gagal membuat isteri saya seronok menerimanya.
4. Pandanglah muka isteri saudara apabila bercakap-cakap dengannya. Tingkah-laku ini menjadi ciri tingkah-laku pasangan yang sedang berkasih-kasihan, tetapi semakin lama selepas berkahwin, kita cenderung semakin kurang melakukan perbuatan ini. Wanita berasa romantis apabila orang yang dikasihinya bercakap dengan memandang matanya.
5. Dengarlah isteri saudara bercakap sampai dia puas bercakap dan berhenti sendiri. Perbuatan ini amat memenuhi keperluan psikologi wanita. Tetapi, kebanyakan lelaki tidak berapa sabar hendak mendengar isteri mereka bercakap panjang-panjang mencurahkan apa yang ada dalam dada mereka.
6. Apabila nampak isteri saudara sedang risau, bermasalah ataupun bersedih, ajaklah dia bercakap-cakap mengenai perasaannya itu. Tetapi jangan pula saudara beri dia nasihat supaya jangan risau ataupun bersedih. Dan jangan cepat-cepat beritahu dia cara bagaimana masalahnya itu patut diselesaikan. Kesilapan begini sering dilakukan oleh lelaki.
7. Apabila saudara nampak dia penat, tolong dia sedikit sebanyak. Inilah antara perkara kecil tetapi yang amat menyukakan hati wanita.
8. Jangan lupa telefon isteri saudara awal-awal apabila saudara mungkin balik lambat balik.
Perbuatan-perbuatan di atas adalah cara-cara yang mudah dan murah untuk saudara menyatakan kasih sayang saudara kepada isteri. Dengan melakukan perkara-perkara di atas isteri saudara akan selalu berasa puas hati dengan layanan saudara mahupun dengan perhubungan antara saudara berdua. Baginya, apa yang saudara buat itu sebenarnya memberitahu kepadanya bahawa saudara menyayanginya, bahawa saudara tahu apa yang menjadi kesukaannya, dan saudara suka menolongnya.








0 komentar:
Posting Komentar